Selasa, 10 Februari 2009

Waran Tangkap Ditarik balik

Dipetik dari siasah

IPOH, 10 Feb: Mahkamah Majistret Ipoh petang ini telah menarik balik waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu setelah diberitahu peguamnya Osman baru keluar dari Hospital Selayang dan tidak sempat ke mahkamah.

Mahkamah itu juga bercadang mengeluarkan waran tangkap kepada Adun Behrang, Jamaludin Md Radzi tetapi peguam beliau memberikan sijil sakitnya.

Waran juga dikeluarkan terhadap tertuduh yang lain termasuk Usaili Alias, pemimpin PKR Perak yang menghadapi tuduhan yang sama.

Kesemua mereka didakwa kerana memberikan rasuah untuk satu projek bernilai jutaan ringgit. Mereka didakwa menjelang pilihan raya Permatang Pauh sebelum ini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan di Restoran Kluang Station Cafe di Medan Istana, Ipoh dan di Aquarias Restaurant & Bar, Tingkat 4, Summit Hotel, Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara 14 hingga 19 Ogos tahun lepas.

Kedua-dua Adun itu, Behrang dan Changkat Jering, keluar dari PKR dan menjadi calon bebas. Kedua-duanya juga bersama Adun Jelapang dari DAP, yang turut menjadi Adun bebas telah ke Istana Kinta dan dipercayai memaklumkan kepada Sultan Perak mereka menyokong BN untuk membentuk kerajaan baru.

Ekoran itu, Sultan Perak telah memperkenankan agar BN membentuk kerajaan baru di Perak. Langkah ini dibantah Pakatan Rakyat kerana ketiga-tiga mereka dikatakan telah meletakkan jawatan dan sudah tidak layak memberikan sokongan kepada BN.

1 ulasan: