Rabu, 11 Februari 2009

K’jaan Pakatan Perak berjaya selesai isu-isu tertunggak - Bar Council

Sepanjang 10 bulan mentadbir Perak, kerajaan negeri telah dapat menyelesaikan dalam masa yang singkat, isu-isu yang sudah lama tertunggak, kata Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga.

Katanya, antara isu-isu yang dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak ialah ialah:

Sebagai menteri besar, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin membatalkan kesemua aktiviti membalak dan perladangan di kawasan Orang Asli di sekitar Gopeng yang menjejaskan lebih 2,000 penduduk Orang Asli.

YB Sivanesan mengumumkan pemulangan kira-kira 400 ekar tanah nenek moyang Orang Asli kepada masyarakat tersebut, yang telah diperuntukan untuk aktiviti pembalakan oleh kerajaan sebelumnya di Mukim Teja dekat Gopeng.

Kerajaan negeri telah mengumumkan pemulangan kira-kira 500 ekar tanah nenek moyang Orang Asli kepada masyarakat Orang Asli Kampung Chang Sungai Gepai di Bidor, yang telah diperuntukkan sebagai tapak Taman Botani, oleh kerajaan sebelumnya.

Sebuah pasukan khas mengenai hak tanah Orang Asli ditubuhkan untuk mengiktiraf secara rasmi semua tanah adat Orang Asli di Perak. Pasukan itu mempunyai dua peringkat. Peringkat kedua dikendalikan secara eksklusif oleh masyarakat Orang Asli sendiri dan dewan mesyuarat di bangunan SUK disediakan untuk kegunaan Orang Asli.

Kerajaan negeri telah melantik seorang pegawai khas Orang Asli bagi negeri Perak yang ditugas untuk menyelesaikan semua masalah yang dihadapi Orang Asli di negeri tersebut.

Mengadakan siri perbincangan dengan rakyat dan NGO mengenai aktiviti pembangunan di Ipoh. Sebagai contohnya, pandangan awam diminta berhubung cadangan pembangunan Pasar Yau Tet Shin.

Penduduk Melayu dan Cina di kampung baru dan kampung tersusun diberi hakmilik kekal secara berperingkat.


Ambiga berkata, Majlis Peguam gembira melihat hasil-hasil yang positif yang dicapai dalam tempoh masa yang singkat untuk menangani isu-isu terbabit.

“Kita berharap kepentingan yang sama akan diberikan terhadap perkara-perkara berkenaan dan terus dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini..

“Malah, kita menggesa kerajaan negeri supaya bersikap pro-aktif berhubung isu-isu yang membabitkan Orang Asli, masyarakat yang terpinggir dan kurang bernasib baik,” katanya.

Selasa, 10 Februari 2009

Siapa beradab dan siapa khianat?

dipetik dari perakexpress.com

FEB 11 — Perak kini berada di dalam kemelut perlembagaan. Media massa yang dikuasai Barisan Nasional sudah dikerahkan untuk memutarbelitkan fakta bagi mengelirukan rakyat dalam perang propaganda. Pertama, dikatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memulakan insiden lompat ini dahulu. Kedua, Pakatan Rakyat dikatakan khianat terhadap DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Sememangnya Anwar telah memulakan jemputan kepada wakil-wakil rakyat BN untuk menyertai Pakatan bagi peralihan kuasa Kerajaan Persekutuan. Tetapi jemputan Anwar ini dibuat dari awal, secara terbuka.

Malangnya, kali ini tindakan rampasan kuasa BN pimpinan Dato’ Seri Najib Razak diselubungi tipu daya, ancaman dan rasuah. Mula-mula, Dato’ Zainal Abidin Zin, mantan Timbalan Menteri Pertahanan mengakui membawa seorang pemimpin Keadilan Perak berjumpa Najib sejurus selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008. Pemimpin tersebut mendakwa Najib menawarkan wang RM50 juta untuk mendapatkan beberapa wakil rakyat sekaligus menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Selepas itu, YB Osman Jailu dan YB Jamaluddin Osman ditekan dengan pertuduhan rasuah ketika menjadi exco Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Kemudian, mereka hilang tanpa diketahui semua. Mereka mendakwa mereka cuti sakit, tetapi isteri mereka pun tidak tahu ke mana mereka pergi.

Kini, apakah status pertuduhan rasuah Osman dan Jamaluddin? Dahulu BN bermati-matian menuduh mereka bersalah, tetapi kini wujud dilema: jika mereka didapati tidak bersalah, rakyat akan menganggap itu sebahagian dari perjanjian untuk menyokong kerajaan BN. Jika bersalah dan dihukum, mereka boleh kehilangan kerusi mereka, dan lebih parah lagi, BN akan dianggap sanggup menerima sesiapa sahaja untuk mendapatkan kuasa mereka.

Anwar turut menulis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memanggil sidang khas bagi membuat undi tidak percaya kepada kerajaan dalam dewan. Tawaran Anwar juga dibuat dengan tekad untuk membubarkan Parlimen selepas peralihan kuasa agar tindakan itu mendapat mandat rakyat. Tindakan Anwar penuh adab kepada keluhuran perlembagaan dan prinsip demokrasi.

Namun, BN yang sebelum ini berhasrat menggubal undang-undang lompat parti kini diam membisu tentang mendapat mandat rakyat. Dewan Undangan Negeri sebagai institusi legislatif negeri dibelakangkan. Apatah lagi apabila Speaker DUN telah pun memutuskan Osman dan Jamaluddin meletak jawatan. BN boleh mempertikaikan hakikat tersebut, tetapi mereka hendaklah ambil tindakan mahkamah memandangkan Speaker sudah pun membuat keputusan.

Pandangan peribadi saya, tindakan menukar parti bagi seorang wakil rakyat seiring dengan prinsip kebebasan berpersatuan dalam perlembagaan. Pilihan ini membolehkan wakil rakyat mempunyai kuasa ketika berhadapan dengan kuasa eksekutif dan pimpinan parti. Tetapi mereka seharusnya berani berhadapan dengan penilaian rakyat yang boleh mengukur sama ada tindakan mereka dibuat di atas prinsip atau tidak. Tindakan mereka juga hendaklah bebas dari sebarang tekanan, ugutan mahupun habuan.

Tentang persoalan kedua, tindakan ghairah Najib lah yang mahukan peralihan kuasa dibuat dengan apa jua cara yang telah mencemarkan kemuliaan institusi raja berperlembagaan di negara kita. Sekiranya Najib sanggup menggunakan tindakan beradab dengan meminta pembubaran DUN atau persidangan khas DUN seperti Anwar, institusi raja tidak akan terheret di dalam kontroversi ini. Tetapi beliau terlalu ghairah setelah gagal bertarung di dalam gelanggang pilihan raya di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Khairy Jamaluddin pula cuba mengapi-apikan sentimen kononnya Pakatan khianat. Sebelum Mac 2008, Khairy cuba memakai topeng Ultra Melayu agar meraih sokongan. Tetapi selepas 8 Mac yang mana keangkuhan beliau turut dikatakan penyebab kehilangan sokongan BN, beliau berubah watak sehingga kelihatan pandangannya umpama pimpinan Pakatan. Tetapi sekali lagi dalam usaha mendapat sorakan orang ramai, beliau kecundang, memilih jalan pintas.

Pada Mac tahun lepas, penyokong parti mana yang mengibarkan kain rentang memanggil DYMM Sultan Terengganu “natang” (binatang)? Melayu hari ini tidak mudah lupa. Jelas, siapa beradab dan siapa khianat.

Najib menyatakan beliau bukan memulakan peristiwa lompat-melompat. Tetapi Najiblah yang memulakannya secara khianat dan tidak beradab. Pakatan menganjurkan peralihan kuasa, Najib memulakan rampasan kuasa.

NIK NAZMI NIK AHMAD merupakan ADUN Seri Setia, Selangor dan turut menjawat Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor serta Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Beliau menulis blog di www.niknazmi.com. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi.

Waran Tangkap Ditarik balik

Dipetik dari siasah

IPOH, 10 Feb: Mahkamah Majistret Ipoh petang ini telah menarik balik waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu setelah diberitahu peguamnya Osman baru keluar dari Hospital Selayang dan tidak sempat ke mahkamah.

Mahkamah itu juga bercadang mengeluarkan waran tangkap kepada Adun Behrang, Jamaludin Md Radzi tetapi peguam beliau memberikan sijil sakitnya.

Waran juga dikeluarkan terhadap tertuduh yang lain termasuk Usaili Alias, pemimpin PKR Perak yang menghadapi tuduhan yang sama.

Kesemua mereka didakwa kerana memberikan rasuah untuk satu projek bernilai jutaan ringgit. Mereka didakwa menjelang pilihan raya Permatang Pauh sebelum ini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan di Restoran Kluang Station Cafe di Medan Istana, Ipoh dan di Aquarias Restaurant & Bar, Tingkat 4, Summit Hotel, Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara 14 hingga 19 Ogos tahun lepas.

Kedua-dua Adun itu, Behrang dan Changkat Jering, keluar dari PKR dan menjadi calon bebas. Kedua-duanya juga bersama Adun Jelapang dari DAP, yang turut menjadi Adun bebas telah ke Istana Kinta dan dipercayai memaklumkan kepada Sultan Perak mereka menyokong BN untuk membentuk kerajaan baru.

Ekoran itu, Sultan Perak telah memperkenankan agar BN membentuk kerajaan baru di Perak. Langkah ini dibantah Pakatan Rakyat kerana ketiga-tiga mereka dikatakan telah meletakkan jawatan dan sudah tidak layak memberikan sokongan kepada BN.

Adun Bkt Selambau Letak Jawatan, P'raya bakal diadakan

Petikan dari Malaysiakini


Arumugam letak jawatan Adun, p’raya di Bukit Selambau
Selepas beberapa jam melepas jawatan exco kerajaan negeri Kedah, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan malam ini bahawa V Arumugam turut meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau.

Menurutnya, peletakan jawatan Arumugam itu berkuatkuasa serta merta.

Awal bulan lalu, Arumugam telah membuat satu laporan polis mengenai ugutan yang diterima oleh beliau.

Berikut adalah laporan yang dikeluarkan Suara Keadilan.

Adun Selambau diugut, buat laporan polis

KUALA LUMPUR, 2 FEBRUARI (SK)- Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, V Arumugam mendedahkan bahawa keselamatan beliau dan keluarganya telah diancam oleh pihak Barisan Nasional semenjak pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu.

Menurutnya dalam satu kenyataan media yang diterima Suara Keadilan, selain dari ancaman yang diterima oleh keluarganya, pegawai dan bekas pegawainya turut diugut supaya beliau melompat parti.

Antara insiden-insiden yang melibatkan ugutan jenayah adalah cubaan menculik beliau pada 17 Oktober lalu, mengugut pegawainya melalui beberapa panggilan telefon yang antaranya pada 31 Mac 2008, mengugut keselamatan keluarganya.

Isnin, 9 Februari 2009

Adun Jelapang bakal dapat Camry?

IPOH, 10 Feb: Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang meninggalkan Dap disebut-sebut akan dilantik menjadi Exco kerajaan negeri Perak yang baru di bawah Umno dan bakal menerima Toyota Camry sebagai kereta rasminya tidak lama lagi.

Untuk itu, dalam majlis angkat sumpah hari ini, hanya enam sahaja Exco yang akan mengangkat sumpah iaitu Hamidah Osman, Datuk Ramly Zahari, Dr Mah Hang Soon, Datuk Saarani Mohamed, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Zainol Fadzi Paharudin.

Menurut sumber, Umno mengosongkan tiga kerusi Exco untuk 'memancing' mana-mana Adun Pakatan yang sedia menyertainya agar kerajaan yang dibentuk lebih stabil.

(dipetik dari siasah)

Bukit Gantang: PAS @ PR mesti dapat majority LEBIH 10 ribu!

Oleh: Huzaifah (http://huzaifahsview.blogspot.com/)


PRK Bukit Gantang adalah indicator. Medan menguji pilihan rakyat pasca ‘rampasan kuasa’ BN 5 Februari 09. Jika PR menang, itu tandanya Umno memang menuju kehancuran. Turut menerima tempias ialah institusi istana. Maknanya, memang sah kerajaan MBH Zamri itu tidak diperlukan. Memang sah sultan membuat keputusan yang salah. Memang sah rakyat menolak Najib dan Umno!


Bagaimana pula jika BN menang? Ia membawa maksud sebaliknya. Memang, PR boleh sahaja mengatakan, kemenangan BN diselaputi pelbagai ‘penipuan, rasuah dan ugutan.’ Tapi, memetik kata kawan saya pemimpin Umno kawasan Kuala Pilah:


“Esey tahu bonar Umno ni, ekau katolah apo sahajo…asal dio dapek apo yang dio nak, Umno tak peduli apo…dio langga jo!”


Betul tak? Insiden ‘rampasan kuasa’ di Perak adalah bukti nyata dan sebelum itu, melarikan dua Adun PKR dan terkini memberikan tekanan kepada Adun Bukit Selambau di Kedah. Harap tiada lagi pimpinan PR menganggap Umno @ BN ini berotak professional apatah lagi rasional…(ini kena minta DSAI bagi tahu kepada Tan Sri Khalid di Selangor, please lah…)



Bagus juga berkawan dengan orang Umno. Mereka ini kadang-kadang jujur, menceritakan ‘resepi’ kemenangan tanpa jenuh meminta pun.


Kata kawan saya itu, semasa PRU Mac 2008 lalu, tiga hari sebelum mengundi pun dia sudah mendapat kertas undi yang sah dan sudah pun bertanda pangkah di kotak BN. Tugasnya, apabila hari mengundi nanti ialah, memasukkan kertas undi BN itu ke dalam kotak undi dan keluar dari bilik mengundi, mesti menyerahkan kertas undi kosong yang diterima di dalam bilik mengundi. Selepas itu, dia akan menerima sampul berisi RM250.


Kata kawan saya, setakat RM250 seorang, apalah sangat. Sebab itu kata dia lagi, ada calon di Negeri Sembilan dulu yang asalnya diramal boleh kalah tetapi akhirnya menang. Percaturannya, BN akan mengkaji sejauh manakah kekuatan undi yang akan diperolehi oleh calon PR.


Baiklah, kita andaikan calon PR akan menang dengan majority 1000 undi, maka BN akan mengeluarkan kertas undi awal sebanyak 1500. Alah…jika 1500 X RM250, baru RM375,000.00. Still in budget BN. No hal…lahhh!


Itu sebabnya, jika PR nak menang di Bukit Gantang, lipatgandakan usaha dengan meraih undi yang lebih besar. Biar lebih besar daripada PRU 13 dahulu. Bila sudah terlalu besar, usaha BN menipu tersebut akan jadi sia-sia.


Alahai…inilah gamaknya yang dikatakan orang…BN ‘membeli’ undi rakyat!

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum meninggal dunia

Ahli Parlimen Bukit Gantang Perak, Roslan Shaharum dari PAS meninggal dunia hari ini.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar dan ketua penerangan PAS, Mahfuz Omar.

Allahyarham diserang sakit jantung ketika sedang berbasikal dekat rumahnya di Changkat Lallang, Batu Gajah pagi tadi. Ini disahkan oleh PAS pada kira-kira jam 1.30 tengahari tadi.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Safiah Harun bersama 10 orang anak.

Ini bermakna, pilihanraya kecil akan diadakan dalam tempoh 60 hari. Antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Bukit Gantang ialah DUN Changkat Jering yang diwakili Mohd Osman Mohd Jailu yang keluar PKR dan menyokong Barisan Nasional (BN) Perak.


Dalam pilihanraya umum lalu, Roslan mengalahkan bendahari Umno, Datuk Azim Mohd Zabidi dengan majoriti 1,566 undi.
Roslan mendapat 20,015 undi manakala Abdul Azim menerima 18,449 undi. Manakala calon bebas, M Morgan mendapat 872 undi.

Bukit Gantang merupakan kerusi Parlimen majoriti Melayu, dengan 27 peratus pengundi Cina dan 10 peratus pengundi India.


Menurut Harakahdaily, Roslan meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah hari ketika dalam perjalanan ke Hospital Batu Gajah.Pegawai Khas Allahyarham, Shaharudin Ahmad Sani berkata allahyarham yang tinggal di Changkat Larang, Batu Gajah menghadapi masalah kesihatan sekembalinya dari luar negara.

"Dalam lawatan beliau ke Taiwan sebelum ini, beliau pernah dimasukkan ke hospital Taiwan atas masalah gula yang tinggi.